Tuesday, September 27, 2011

Sejarah Puteri Santubong and Puteri Sejinjang

Setelah ber-PPUB.. kat Gunung Santubong aritu.. (PPUB=Perkemahan perdana unit beruniform).. maka ada lah seorang cikgu nih beria-ia menggodek2 internet untuk carik cerita pasal Puteri Santubong... So..aku yang pakar Sejarah nie long-story lah kat dia cerita bebenornye..

Korang baca lah yea..and perbetullah ape2 yang tak betulnye... (aku cut paste je..hihohiho...)


GUNUNG SANTUBONG

GAMBAR GUNUNG SEJINJANG YG BERSEBELAHAN DENGAN GUNUNG SANTUBONG

Berikut adalah dua versi legenda mengenai puteri santubong buat tatapan dan pengkisahan maklumat sejarah:
Versi 1

Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang adalah dua puteri Sultan Brunei yang telah melarikan diri bersama tujuh orang saudara lelaki mereka selepas ayahanda mereka, Sultan Brunei dibunuh di dalam satu komplot rampasan kuasa. Memandangkan tujuh putera ini ingin melarikan diri ke Tanah Melayu, mereka perlu menyeberangi Laut China Selatan maka mereka telah bersepakat meninggalkan kedua-dua saudara mereka di Bukit Santubong.

Penduduk kampung berasa hairan dengan kehadiran kedua-dua puteri tersebut kerana mereka tidak pernah melihat kedua-duanya ditambah pula dengan kecantikan mereka yang luar biasa. Mereka dianggap sebagai puteri yang turun dari kayangan. Penduduk kampung dan puteri-puteri ini hidup aman damai sehinggalah kedua-dua mereka bergaduh dan berbunuh kerana menganggap seorang lebih cantik dari seorang lagi. Oleh itu, timbullah legenda Gunung Santubong dan Gunung Sejinjang.

Bagi orang-orang Dayak di Sarawak yang selalu ke kawasan dua gunung tersebut mula berasa hairan. Mereka berfikir akan dari mana datangnya kedua-dua gadis tersebut yang mereka tidak pernah temui sebelum itu di kawasan tersebut. Mereka menganggap kedua-dua puteri tersebut telah ‘Turun Dari Kayangan’ (seperti yang terdapat di dalam lirik lagu Puteri Santubong – “anak dak dewa turun kayangan”.


Kembali kepada tujuh bersaudara itu pula, mereka telah meneruskan pelayaran mereka sehinggalah mereka sampai di Pulau Pinang menaiki burung bayan. Setelah mendarat mereka mencari tempat tinggal. Semasa di Pulau Pinang burung bayan yang ditunggang telah terlepas maka dari situlah Bayan Lepas di Pulau Pinang mendapat namanya. Difahamkan carta organisasi salasilah keturunan ini masih wujud di sana.



Versi 2

Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang asalnya dari kayangan merupakan dua orang puteri sepupu. Ayahanda mereka Dewata Mulia Raja Kayangan telah menitahkan agar mereka turun ke bumi untuk menyelesaikan pertelingkahan dua kampung. Sebelum turun ke bumi, kedua-dua puteri telah dipesan agar jangan berlaku pergaduhan antara mereka yang mana kesannya mereka akan terkena sumpahan dan kekallah mereka di bumi.

Ketika kedua-dua puteri tiba ke bumi, penduduk kedua-dua Kampung Pantai Biru dan Pasir Kuning sungguh hairan melihat cahaya terang laksana mentari menyusuri kampung mereka. Kejelitaan dan sifat kewanitaan amat terserlah pada kedua-dua puteri ini.

Puteri Santubong telah menetap di kampung Pantai Biru dan menurunkan kemahiran menenun kain kepada orang-orang kampung di situ manakala Puteri Sejinjang pula mengajar mengasingkan sekam padi dengan aluk kepada orang-orang kampung Pasir Kuning. Dengan tunjuk ajar kedua-dua puteri ini, pertelingkahan pertukaran barang-barang yang berlaku selama ini telah terhapus dan orang-orang kampung hidup aman dan damai. Kain tenunan Puteri Santubong begitu unik dan dijual dengan harga tinggi manakala tanaman padi Puteri Sejinjang begitu subur dan menjadi. Malangnya, kemakmuran yang dikecapi ini tidak berkekalan.

Kehadiran Putera Serapi dari Matang untuk melihat kehebatan kedua-dua kampung serta kecantikan dan kejelitaan kedua-dua puteri telah menimbulkan perasaan iri hati dan cemburu di hati kedua-dua puteri. Ini adalah kerana kedua-dua mereka telah jatuh hati dengan ketampanan, kewibawaan dan keperkasaan Putera Serapi yang mana telah jatuh hati kepada kejelitaan dan keayuan kedua-dua puteri juga.

Sementara itu, Panglima Putih berasa amat kecewa kerana pinangannya ditolak Puteri Sejinjang. Kampung Pasir Putih dibakar oleh Sang Bualang menyebabkan Puteri Sejinjang melarikan diri ke istana Puteri Santubong.

Mereka sering berjumpa dan memadu kasih. Putera Serapi telah menyatakan hasrat untuk memperisterikan kedua-dua puteri tetapi kedua-duanya tidak bersetuju kerana beranggapan masing-masing lebih jelita dan pandai. Perasaan benci,dendam dan iri hati makin menebal di dalam hati kedua-dua puteri demi untuk menawan hati Putera Serapi.

Mereka menggunakan kuasa kesaktian yang ada dan telah bergaduh berhari-hari lamanya untuk mempertahankan kejelitaan dan kemahiran masing-masing. Dalam kemarahan, Puteri Sejinjang telah mencapai aluk lalu dihayun dan terkena pipi Puteri Santubong. Jika diteliti lekukan ini dapat dilihat di Gunung Santubong sehingga kini. Melalui kudrat dan kekuatan yang terakhir, Puteri Santubong telah menikam belida di kepala Puteri Sejinjang menyebabkan otaknya bersepai lalu tersungkur kerana kesakitan. Secara tiba-tiba kilat sabung-menyabung disertai guruh berdentum. Cahaya terang dari langit kelihatan lalu mengangkat kedua-dua puteri ke kayangan.

Sumpahan kayangan berkekalan menjadikan Puteri Santubong sebagai gunung dan Puteri Sejinjang sebagai Pulau Kera . Putera Serapi yang kecewa terus membawa diri ke Gunung Serapi.

Jika diteliti dan diamati, gunung santubong kelihatan seperti seorang wanita sedang berbaring dengan rambut panjangnya yang terurai.Akibat pukulan belida yang amat kuat otak Puteri Sejinjang telah bersepai dan berselerakan menjadi Pulau Kera,Pulau Talang-talang,Pulau Satang,Pulau Lakir dan beberapa pulau kecil yang berhampiran





Oleh,
Fazillah Begum Binti Abdul Ghani
Peguam Kanan Persekutuan
Jabatan Peguam Negara Malaysia
Sarawak

 
 
Penceritaan ini adalah sekadar memperkayakan kisah legenda tanah air yang penuh dengan maksud tersirat buat renungan dan iktibar bersama.... bak kata orang "yang baik jadikan tauladan...yang buruk jadikan sempadan"....
 
miliop......
 
.


.

No comments:

Post a Comment